Cara Memupuk Amalan Hidup Bermasyarakat
Penggunaan pepatah hidup berjiran membawa bahagia kerap kali dikaitkan dengan amalan hidup berjiran di Malaysia. Jiran iaitu orang yang tinggal di sekeliling kita, merupakan orang yang penting bagi menjamin kebahagiaan hidup yang diimpikan oleh setiap insan bernyawa. Suasana hidup bermasyarakat yang harmoni dan damai mampu mendorong kepada tercetusnya kebahagiaan ini. Namun begitu,akibat ledakan kemajuan negara yang membangun,amalan hidup bermasyarakat di Malaysia kini dipandang enteng. Masyarakat sekarang lebih gemar mengamalkan hidup bagai enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing kerana disibukkan dengan kerjaya tersendiri. Oleh hal yang demikian beberapa inisiatif seharusnya diambil demi memulihkan semangat hidup bermasyarakat yang kian pudar di negara tercinta ini.
Pastinya tidak dapat disangkal lagi bahawa penganjuran sambutan perayaan merupakan langkah efektif bagi mengeratkan hubungan sesama jiran terutamanya bagi kawasan perumahan yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Dengan penganjuran majlis seperti rumah terbuka masyarakat akan saling berkenalan dan bertegur sapa. Disebabkan kepelbagaian kaum masyarakat di Malaysia, pelbagai sambutan perayaan dapat disambut seperti Hari Raya Aildifitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Oleh itu, ikatan silaturrahim antara penduduk dapat diutuhkan melampaui batas kaum,agama dan budaya. Persiapan majlis keraian boleh dilakukan bersama sesuai dengan peribahasa sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk. Masyarakat juga dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, yang tua dihormati yang muda disayangi. Dengan itu, jelaslah penganjuran sambutan perayaan perlu diperbanyakkan agar semangat kemasyarakatan dapat ditingkatkan.
Seterusnya, bagi mewujudkan komuniti masyarakat yang intelektual dan cerdas, kelas bimbingan tambahan sewajarnya diadakan. Bukan sahaja mampu mendorong kepada kemajuan masyarakat malahan hubungan sesama jiran akan menjadi semakin kukuh. Berpegang kepada kata mutiara adat pulau limburan pasang, Individu yang berpengalaman dan lebih arif dalam sesuatu bidang boleh membuka khidmat kelas bimbingan kepada warga kejiranan yang lain secara percuma. Sesiapa yang menyertai kelas tersebut juga boleh memberi sedikit buah tangan atau bayaran mengikut kerelaan hati mereka sebagai tanda penghargaan seperti kata mutiara mulut biar manis,hati biar baik. Melalui inisiatif ini, suasana yang harmoni dan permuafakatan yang erat mampu dijana demi kebahagiaan hidup bersama kerana warga jiran akan lebih kerap berjumpa. Antara kelas-kelas yang kerap kali diadakan dalam sebahagian masyarakat ialah kelas pengajian al-Quran, kelas memasak dan kelas menjahit. Namun begitu, kelas-kelas ini jarang diadakan di kawasan bandar kerana penduduknya sibuk dengan kerjaya tersendiri. Oleh itu, masyarakat di kawasan bandar perlu menggalakkan anak-anak mereka yang masih belajar mengadakan aktiviti belajar secara berkumpulan bersama anak-anak jiran agar jalinan yang erat dapat dibentuk dalam komuniti.
Selanjutnya, alternatif lain dalam meningkatkan permuafakatan antara masyarakat ialah mengesyorkan mereka melibatkan diri dalam projek yang direncanakan oleh komuniti rukun tetangga iaitu kebun milik bersama. Dalam projek ini satu tanah lapang akan dikhaskan kepada para penduduk untuk diusahakan. Hasil-hasil tanaman dapat dikongsi bersama atau dijual di koperasi berdekatan. Kerja bercucuk tanam ini memerlukan tenaga dan masa yang banyak, jadi golongan mudalah yang seharusnya mengerah keringat menggantikan golongan tua yang kurang berdaya. Antara tanaman yang sesuai ditanam termasuklah mempelam Harumanis, sayur-sayuran hijau, cempedak dan rambutan. Dengan melakukan kegiatan murni ini, anak remaja dapat mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial yang semakin meruncing dalam kalangan masyarakat Malaysia kini sekali gus memanfaatkan masa terluang mereka dengan melakukan aktiviti berfaedah kerana masa itu emas. Di samping itu, mereka juga mampu membina tubuh badan yang sihat dan cergas bak kata tokoh ilmuan barat yang terkenal, Albert Camus: Sumbangan terbesar manusia adalah membantu orang lain agar mereka dapat membantu diri sendiri. Jelaslah di sini bahawa penglibatan jiran tetangga dalam projek kebun milik bersama merupakan langkah efektif dalam meningkatkan mutu hidup bermasyarakat.
Lontaran idea yang seterusnya merupakan perlangsungan karnival jualan amal oleh masyarakat setempat. Hasil jualan yang diperoleh akan dikumpul dan diedarkan kepada penduduk-penduduk yang memerlukan atau digunakan untuk penganjuran majlis-majlis yang diadakan. Selain itu, kemudahan awam juga boleh dibaiki dan ditingkatkan seperti menghias taman perumahan dan membaiki taman permainan yang telah rosak. Barang jualan seperti pakaian, kraftangan dan alat permainan yang terpakai adalah daripada penduduk setempat sendiri. Hasil-hasil tanaman daripada kebun milik bersama seperti Harumanis juga eloklah dijual semasa jualan amal ini. Aktiviti jualan amal ini bukan sahaja dapat memupuk sikap suka menolong dan bersedekah dalam kalangan masyarakat, justeru dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia tanpa melihat kepada perbezaan status. Kita akan saling membantu dan tidak berlepas tangan terhadap penderitaan orang lain kerana jiran umpama keluarga kita. Intihanya, kerja amal yang dilakukan mampu membentuk ukhuwah yang erat bagai isi dengan kuku kerana masing-masing tahu peranan yang sepatutnya dimainkan demi kesejahteraan semua.
Meneliti ke skop yang seterusnya, penglibatan masyarakat dalam komuniti beriadah juga mampu menyemarakkan lagi semangat kejiranan dalam komuniti rukun tertangga. Penganjuran komuniti riadah ini adalah selari dengan kehendak kerajaan dalam kempen Cara Hidup Sihat untuk melahirkan masyarakat yang seimbang jasmani, rohani dan emosi. Para penduduk akan berkumpul di kawasan terbuka pada waktu pagi untuk bersama-sama beriadah dan berekreasi sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Aktiviti riadah ini menyebabkan fikiran masyarakat menjadi lapang. Sebagai contoh, dalam mengharungi kesibukan serta tekanan kerja,aktiviti beriadah bersama-sama ini berupaya menghindarkan diri sebentar dari ruang ligkup kerja yang sibuk. Mereka dapat bertegur sapa dan berkongsi cerita sambil beriadah untuk mengeratkan lagi hubungan. Individu dari kanak-kanak hingga warga emas sesuai menyertai aktiviti bermanfaat ini kerana otak yang cerdas datangnya dari badan yang cergas. Natijahnya, komuninti riadah sepatutnya dijayakan di setiap kawasan kejiranan demi melahirkan rakyat Malaysia yang sihat kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.
Sebagai penyimpul kata, marilah kita mengimarakkan lagi semangat hidup bermasyarakat dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Kehidupan hidup bermasyarakat ini akan terhakis jika mereka yang tinggal di kawasan bandar raya semakin sibuk dengan urusan harian mereka sehingga tidak berpeluang untuk mengenali jiran mereka. Sehubungan dengan itu, usaha-usaha untuk memupuk amalan hidup bermasyarakat haruslah diambil untuk meningkatkan semangat kerjasama dan perpaduan rakyat seperti perumpamaan serumpun bak serai,sesusun bak sirih. Kita seharusnya hidup secara aman, harmoni dan tidak berantakan antara satu sama lain seperti yang telah diperkatakan oleh Almarhum Perdana Menteri kita yang pertama dalam ucapannya yang bertarikh 3 Jun 1957 di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur. Beliau berkata, “…tinggallah dengan baik antara satu sama lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia.
0 comments:
Post a Comment